
KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Subsidi, pada dasarnya, adalah penyelarasan jangka pendek dan perlu dimansuhkan secara berperingkat kerana ia boleh memberi kesan kepada harga sekiranya terus dilaksanakan bagi satu tempoh yang berpanjangan.
Malaysia yang mencatatkan belanjawan defisit menyaksikan kekangan dalam kedudukan fiskalnya berikutan langkah mengekalkan kos barang keperluan pada harga di bawah pasaran,
Subsidi kerajaan dianggarkan mencecah rekod RM80 bilion pada 2022, dengan subsidi bahan api dan minyak masak menyumbang separuh daripada jumlah itu.
Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata paras hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera kerana peningkatan hutang itu telahpun lebih 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara.
Pembaharuan struktur telahpun bermula. Pemansuhan subsidi secara berperingkat, antara lainnya, berada di landasan yang betul dengan kerajaan sedang meneliti dan memperhalusi mekanismenya.
Anwar, yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada November tahun lepas berkata kerajaan memperuntukkan subsidi berjumlah RM66.3 bilion pada 2022, sebahagian besarnya untuk mengimbangi harga bahan api, elektrik dan ayam ternakan.
Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata pembaharuan subsidi bagi elektrik adalah cara paling praktikal dan mudah untuk menghapuskan kesan herotan subsidi yang mana golongan berpendapatan paling tinggi paling banyak meraih manfaat daripadanya.
“Elektrik bermeter, jadi kami boleh mengenal pasti pengguna tertinggi dalam kumpulan T20 (20 peratus teratas daripada pendapatan isi rumah) dengan mudah. Menghapuskan subsidi kepada mereka yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan boleh menjimatkan RM1.96 bilion dan hanya akan menjejaskan 11 peratus isi rumah,” katanya kepada Bernama.
Pada 23 Jun, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan bahawa 1.0 peratus pengguna elektrik teratas di negara ini akan membayar tarif yang lebih tinggi antara Julai dan Disember tahun ini. Di bawah mekanisme pelepasan kos tidak seimbang baharu, kira-kira 83,000 pengguna akan membayar sekurang-kurangnya RM187 lebih sebulan.
Sementara itu, Williams berkata pemotongan subsidi bahan api boleh dicapai dengan cara yang sama seperti pemotongan subsidi elektrik — dengan mengenakan harga penuh tanpa subsidi kepada pengguna tinggi dan harga bersubsidi rendah kepada pengguna rendah.
“Ini kebanyakannya merangkumi kumpulan T20 dan B40 (40 peratus terendah daripada pendapatan isi rumah). Menghapuskan subsidi untuk pengguna tinggi sahaja akan menjimatkan berpuluh bilion (ringgit). Teknologi ini boleh dicapai di tempat jualan di stesyen minyak. Orang tengahlah yang membantah perkara ini kerana mereka kerugian dari segi pembayaran,” katanya.
Williams menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami isu ekonomi dan bahawa orang tengah serta kumpulan berpendapatan tinggilah yang paling mendapat manfaat daripada subsidi.
“Subsidi juga mengganggu pasaran dalam jangka panjang jadi kita memerlukan pembaharuan sekarang,” katanya.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan berada di landasan yang betul dengan melakukan pembaharuan subsidi memandangkan Malaysia sedang mengalami trend penurunan kadar inflasi dan ekonomi telah pulih ke tahap sebelum pandemik.
“Namun, walaupun sebahagian isi rumah sudah pulih, masih ramai yang memerlukan bantuan tambahan; justeru terdapat keperluan bagi subsidi bersasar daripada mengekalkan pendekatan secara lebih meluas,” katanya kepada Bernama.
Inflasi Malaysia terus menurun pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna merosot kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol; pengangkutan; dan perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin rumah.
Ia merupakan penurunan kadar inflasi negara bulan kesembilan berturut-turut sejak mencapai kemuncak 4.7 peratus pada Ogos tahun lepas.